عن ابي حمزة انس بن مالك رضي الله عنه خادم رسول الله صلى الله عليه وسلم عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : لا يؤ من أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه - رواه البخاري و مسلم
Terjemahannya : Dari Abi Hamzah Anas bin Malik r.a khadam Rasulullah SAW dari Nabi SAW sabdanya : Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
Syarahannya :
Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abi Hamzah Anas bin Malik, seorang sahabat yang terkenal menjadi khadam rasulullah SAW selama 10 tahun Menurut keterangan sejarah, Ibunya pernah meminta kepada Rasulullah supaya didoakan untuk anaknya( Anas bin Malik) agar dibanyakkan hartanya, anaknya dan panjang ‘umurnya. Rasulullah telah berdoa dan berhasil apa yang dikehendakinya. Maka berbuahlah pokok tamarnya setahun 2 kali, dan ramailah anaknya hingga seratus orang serta panjanglah usianya selama sembilan puluh sembilan (99) tahun. Banyak hadis yang telah diriwayatkan adalah dua ribu dua ratus delapan puluh enam (2286) hadis.
Nilaiannya:
Hadis ini samalah seperti hadis yang sebelumnya dalam perkara yang berhubungan dengan adab yang baik bagi orang islam terhadap saudaranya supaya silaturrahim dan kasih sayang selalu berjalin dengan baik dan damai dalam masyarakat.
Perkara Hubungan Iman dangan Cinta
1 – Cinta Seorang Kepada Saudaranya
Pada hadis tersebut Rasulullah ada menerangkan hubungan iman seorang dengan cinta, iaitu cinta atau kasih sayang terhadap saudaranya sama seperti cintanya kepada dirinya sendiri. Cinta ini dihubungi dengan iman, sehingga kurang iman kerana kurang cinta. Dan cinta yang dimaksudkan ialah yang didasarkan kepada agama, bukan kepada perikemanusiaan semata-mata.
Rasulullah telah menerangkan : bahawa tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.
Imam Nawawi dalam huraian hadis ini (dalam syarah al-‘Arbain al-Nawawiyyah’) menjelaskan : bahawa lebih utama pengertian saudara (dalam hadis tersebut) digunakan dengan seluas-luasnya sehingga meliputi orang yang kafir dan yang Islam. Menurut pengertian ini, tambah beliau, maka wajiblah seorang islam mencintai atau mengasihani saudaranya yang kafir supaya ia memeluk agama islam sebagaimana ia mencintai saudaranya yang islam supaya kekal terus dalam agama islam. Dan kerana ini – menurut katanya – doa untuk diberi hidayah kepada orang kafir disukai.
Erti tiada beriman pada hadis ini adalah ketiadaan sempurna iman ia cinta kepada dirinya sendiri. Cinta yang dimaksudkan ialah cinta untuk memperolehi kebaikan dan manfaat. Kemudian cinta itu bukanlah cinta kerana tabiat kemanusiaan tetapi kerana roh keagamaan. Kerana tabiat manusia sememangnya tidak sukamelihat orang lain mendapat kebaikan atau orang lain itu berbeza keadaan daripadanya.
Seorang manusia wajib menyalahi tabiat kemanusiaan yang buruk. Dan berdoa untuk saudaranya serta berharap kebaikan untuknya sebagaimana yang dilakukan untuk dirinya sendirinya.
2 – Akibat Tidak Cinta
Imam Nawawi seterusnya berkata lagi : bahawa apabila seorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka ia adalah seorang pendengki.
Pendengki menurut Imam Ghazali r.h ada tiga macam :
1. Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya.
2. Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatnya. Kerana boleh jadi dia telah mempunyai nikmat itu atau tidak disukainya. Yang kedua ini lebih jahat bencananya dari yang pertama.
3. Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain, tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya. Apa yang disukai ialah biarlah sama sahaja tarafnya, dan tak usah lebih daripadanya. Yang ketiga ini pun diharamkan juga, kerana terang-terang tidak suka kepada pembahagian Allah yang diterangkan dengan firman-Nya.
Surah al-zukhruf ayat 32. Apakah mereka (yang berhak) yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? kami Telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia (ini), dan kami Telah meninggikan sebahagian mereka atas sebagian yang lain beberapa derajat, agar sebagian mereka dapat mempergunakan sebagian yang lain. dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.
Sebenarnya, siapa yang tidak suka dengan apa yang telah ditentukan Allah adalah melawan ketentuan dan kebijaksanaan-Nya serta tidak ada perasaan insaf dan timbangrasanya atau kasih sayangnya.
Menurut hadis ini seorang yang beriman hendaklah menjadi orang yang sempurna imannya dengan mengasihi saudaranya sama seperti ia mengasihi peribadinya sendiri; baik baginya baik bagi saudaranya, buruk baginya buruk pula saudaranya. Tidak ada baginya perbezaan perasaan hingga yang baik adalah untuknya, sedang yang buruk adalah untuk saudaranya.
Petunjuknya (Dilalahnya) :
1- Hadis ini menunjukkan peri mustahaknya perasaan kasih sayang diantara orang yang beriman, hingga dipertalikan iman itu dengan perasaan yang tersebut serta kesempurnaan dan kekurangannya kerana perasaan itu juga.
Orang yang beriman sebenarnya orang yang bertimbangrasa terhadap saudaranya. Gembira dan duka adalah perasaan yang dirasai bersama. Orang yang beriman dalam hidup pergaulan adalah sebagai kata peribahasa-peribahasa “ Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing”. (Jungkit sama didaki, Lurah sama dituruni”) (“ Mendapat sama berlaba, Kehilangan sama berugi”) dan (“ Terapung sama hanyut, Terendam sama basah”). Semua ini berlaku kalau perasaan muhibbah atau saling cinta mencintai dan kasih sayang itu meresap ke lubuk jiwa sebagai orang mukmin muslim sejati.
2- Menunjukkan betapa pentingnya perasaan kasih sayang tersebut didasarkan kepada iman untuk menjadi asasnya yang kuat. Kerana diatas dasar inilah saja yang dapat diletakkan persatuan yang berjiwa persaudaraan yang bersih, terhindar dari anasir-anasir perpecahan dan permusuhan. Dan inilah yang dikehendaki dari pengajaran al-Quran yang terang-terang menyatakan seperti berikut :
Surah Ali 'Imran ayat 103. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.
Ayat ini bermaksud supaya sekalian orang beriman berpegang teguh dengan tali Allah : Tali yang dilarang diputuskan oleh perasaan benci membenci, pandang memandang, kerana berlainan kedudukan dan aliran fahaman, yang mana menyebabkan pupusnya perasaan cinta diantara sesama sendiri. Sekianlah Wallahua’lam.
Admin wrote : Diterjemah, Disyarah dan Disusun oleh Ustaz Mustafa Abd Rahman, Dewan Pustaka fajar